Friday, March 28, 2014

Bab 5 : Jodohku & Janji-Nya



Jannah menghirup kopi panas yang baru dihidangkan sambil menumpukan perhatiannya kepada pembentangan yang sedang berlansung. Pagi itu mereka sedang menilai tawaran tiga syarikat pembekal bagi pembekalan bahan mentah untuk projek Fasa 3 di Putrajaya. Setiap syarikat telah dijemput untuk membuat pembentangan secara berasingan. 

Qayyum diberikan tanggungjawab untuk mengendalikan mesyuarat pada hari itu sementara Jannah hanya bertindak sebagai pemerhati. Dari cara tuturnya yang berkeyakinan, sikap yang tenang serta bahasa badan yang kemas, Qayyum cukup menyerlahkan karismanya sebagai seorang bakal ketua syarikat.

“Cik Jannah, you ada apa-apa soalan?” soal Encik Adli, wakil dari Syarikat PerkasaBina.  Soalan yang disertakan bersama satu senyuman.

Jannah yang sedikit terkejut mendengar soalan itu, berpaling memandang Qayyum seketika. Qayyum sekadar tersenyum dan mengangguk sebagai isyarat membenarkan dia menjawab soalan Encik Adli.

“Erhm.. Tak ada Encik Adli. Lagipun, jika kami ada sebarang soalan, Encik Qayyum selaku wakil syarikat akan mengemukakannya. Hari ini, seperti yang saya katakan dipermulaan mesyuarat, saya hanya bertindak sebagai pemerhati. ”

Encik Adli ketawa kecil sambil mengangguk.

“Itu saya faham tapi memandangkan kita dah biasa berurusan, maka saya ingin bertanya pendapat Cik Jannah tentang pembentangan tadi. Maafkan saya, Encik Qayyum, dah terbiasa.” Jelas Encik Adli.

It’s okay. Carry on.” Jawab Qayyum ringkas.

Jannah membetulkan duduknya.

“Maaf Encik Adli, saya tak boleh nak komen apa-apa. Kami akan menilai semua tawaran yang telah disenarai pendek dan dari situ kami akan membuat keputusan.”

“Adakah harga yang kami tawarkan ini dalam lingkungan harga yang boleh diterima? Jika tidak, insyaAllah kita masih boleh berbincang sekarang.” Sekali lagi Encik Adli bertanya dan kali ini cuba membuat tawaran.

Jannah menghela satu nafas panjang. Dia mula tidak senang dengan soalan-soalan ini. Dia memandang sebentar ke arah Qayyum yang dari tadi hanya diam memerhati.

‘Mungkin Qayyum berdiam diri kerana dia mahu melihat cara aku menangani kerenah pembekal ini.’ Detik hati Jannah.

“Maaf Encik Adli. Memandangkan Encik Adli kata tadi yang kita dah biasa berurusan, saya percaya yang Encik Adli tentu maklum dengan cara kami berkerja. Kami sentiasa telus dalam pemilihan kami. Ini amanah yang para memegang saham telah berikan kepada kami dan kami akan pegang amanah itu sebaiknya. InsyaAllah, selepas kami menilai kesemua tawaran dan jika PerkasaBina tersenarai, kita akan adakan satu lagi perbincangan dan kita akan berbincang secara lebih terperinci.  But as for now, if you are done with your presentation, I would like to thank you and your team and wish you luck.” Jawabnya tegas. Jannah menutup iPad dihadapannya dan mula berdiri.

Kedengaran Encik Adli berdehem beberapa kali.

“Cik Jannah, Encik Qayyum, saya minta maaf jika saya tersalah soalan tadi.” Pinta Encik Adli.

“Ya, Encik Adli. Let me be frank with you. Pada saya, soalan tadi memang tidak sesuai kerana sepatutnya harga di dalam sebut harga ini adalah harga yang sudah dikunci untuk perbincangan peringkat ini dan bukan untuk yang dijadikan bargaining point.” Terang Jannah tanpa menunggu jawapan dari Qayyum. Suaranya masih tegas dan dia memandang tepat kepada Encik Adli.

Perubahan air muka Encik Adli dapat dilihat oleh Jannah. Mungkin lelaki itu tidak suka akan teguran yang baru diberi tapi pada Jannah dia perlu berkata jujur. Menegur apa yang dilihat dan dirasakan tidak betul.

“Ermm.. Saya minta maaf sekali lagi. Nampaknya soalan main-main saya tadi dianggap serius.” Encik Adli cuba memberi dalih.

Jannah sekadar membiarkan penyataan itu berlalu. Malas dia mahu membalas.

“Terima kasih Encik Adli. We shall be in touch.” Dia memandang tepat ke arah Encik Adli yang seakan masih tak berpuas hati dengannya.  Apabila dia melihat lelaki itu seakan tidak mahu berganjak, Jannah memulakan langkahnya dahulu.

“Encik Qayyum, saya keluar dahulu. Encik Adli, terima kasih sekali lagi.” Jannah meminta izin lalu berjalan keluar dari bilik mesyuarat berkenaan.


Sepuluh minit selepas itu, Qayyum sudah berdiri di hadapan meja Jannah yang pada ketika itu sedang sibuk menaip sesuatu. Sedikit pun Jannah tidak menoleh ke arahnya.

Are you in a rush?” soalnya selepas tiada tanda yang Jannah akan mengangkat kepala dari papan kekuncinya itu.

“Err.. ya, Encik Qayyum, saya ambil cuti separuh hari, hari ni.”

“Oh.”

Jannah menghentikan jari-jemarinya dari menaip dan memandang Qayyum.

“Ada apa Encik Qayyum?”

“Hmm.. I was hoping we can sit down and discuss the 3 proposals.”

“Oh! Saya minta maaf Encik Qayyum. Hari ni memang tak boleh. Saya ada urusan yang tak boleh ditangguh tapi saya dah minta Safi untuk set up kan meeting time esok untuk kita go through the proposals sebelum kita berjumpa dengan Tuan Amir. ” Terang Jannah sebelum dia kembali menaip laju.

“Awak ada urusan apa?”

Jannah menoleh memandang Qayyum sekali lagi. Kali ini dengan senyuman dibibir.

“Maaf Encik Qayyum. Peribadi.”

Qayyum membalas senyuman yang diberi. Jarang Jannah menghadiahkan senyuman ikhlas sebegitu kepadanya.  

Oh ok. I can respect that.

Thanks, Encik Qayyum. Ada apa-apa lagi?”

Qayyum ketawa kecil. Nampak sangat Jannah sedang mengejar masa.

“Awak tengah siapkan apa tu?”

Site report untuk Tuan Amir.”

“Nak saya tolong?”

“Oh, tak apa. Sikit lagi ni.”

“Jannah, if you are in a rush, saya boleh buatkan. This is for yesterday, right?”

Yes, it is but like I said, its ok. I have this. Dan kalau Encik Qayyum tak kacau saya, saya cuma perlukan 5 minit saja lagi untuk siapkan laporan ini.” 

Qayyum ketawa lagi.

Ok Ok. I get it. So, I will see you tomorrow, ok?

“Thanks Encik Qayyum.” Dan Jannah pantas menyambung kerja. Email itu perlu dihantar sebelum dia pulang.

Jannah?

Ya?Sekali lagi Jannah terpaksa menoleh. Qayyum merendahkan badannya. Kedua tangannya diletakkan ke atas meja Jannah.

“Enjoy your day off, ok?” Ucapan perlahan  itu disertakan dengan senyuman dan kenyitan mata sebelum Qayyum berlalu masuk ke biliknya.

Jannah sekadar memerhati lelaki itu melangkah pergi. Berkerut dahinya bila teringatkan aksi yang baru dilihat tadi.

“Ehem ehem! Amboi!” Kedengaran suara Safi menyampuk dari mejanya yang cuma selang beberapa kubikel darinya.

Jannah membulatkan matanya.

What!

“Ehem Ehem…” ulang Safi lagi sambil melaga-lagakan kedua jari telunjuknya.

Jannah mengepal penumbuk.

“Nampak ni? Nonsense! Jangan kacau aku la. Aku nak cepat ni!”

Mengekek Safi ketawa. Bebelan Jannah tidak dihiraukan. Laju dia menapak ke meja Jannah.

“Sempat kenyit mata tu! Tak tahan aku!” Bisik Safi.

“Kau nampak?” Jannah berhenti menaip.

“Satu ofis nampaklah!”

“Banyak la kau tangachi!”

“La.. betul la. Kau nak aku tanya pada Azura tu? Aku nampak dia pun tersengih tengok drama 2 minit korang tadi.”

“Hish.. rimaslah aku. Eh dah la. I need to finish this. Nanti aku lambat!”

“Pukul berapa Sarah habis sekolah?”

“Dua.”

“Sekolah dia kat mana?”

“Jalan U-Thant.”

So what’s the plan today?

“Hish tangachi, aku nak cepat ni. Malam nanti cerita boleh tak?”

“Ok lar..”  Safi mencebik muka.

“Tapi kau balik awal tau, kita dinner sama-sama.”

“Kau nak masak ke?”

“Ya lah. Habis tu takkan kau kot?”

“Pordah.. Kutuk aku!”

Jannah ketawa lepas.

“Sarah tidur rumah ke?

“Yup. Esok kan Sabtu. Esok kita bawa dia jalan jalan cari makan eh?”

“Ok set!”


Waktu Jannah tiba di sekolah, kelihatan Sarah sedang leka bermain dengan 3 orang rakannya. Kedengaran riuh suara mereka berempat. Dari tempat dia berdiri, nampaknya seperti mereka sebaya. Lega hati Jannah melihat Sarah sudah boleh membiasakan dirinya di situ. Sarah sebenarnya baru beberapa bulan bersekolah di sini. Pada minggu pertamanya dulu, hampir setiap hari Sarah akan menangis apabila dia tahu dia harus ke sekolah.  Dan demi masa depan Sarah, hampir seminggu dia terpaksa mengambil cuti untuk menemani anak itu ke sekolah.
            
            “Ibu!” Jerit Sarah apabila dia ternampak kelibat Jannah.
            
            “Hi sayang!”

Sarah berlari mendapatkannya untuk bersalam.

Jannah mencapai dan menggengam tangan yang comel dan pejal itu sebelum menarik Sarah ke dalam pelukannya.

“Hari ni Sarah balik dengan ibu ke?” Ceria muka itu bertanya.

“Sarah nak balik dengan ibu tak?” Jannah pula menyoal. Saja mengusik.

“Mestilah! Kawan-kawan! Mari sini!” Sarah sudah separuh menjerit.

Ketiga- tiga rakannya tadi datang berdiri sebelah kiri dan kanannya. Semua tersenyum lebar memandang Jannah.

“Ibu, ini Hana, ini Adam dan ini Bella. Salam-salam. Ini ibu kita.”

“Eh, awak kata awak tak ada emak dan ayah?” soal Adam.

“Ya la. Memang saya tak ada. Ini ibu angkat saya lah. Cepat salam.” Jawab Sarah polos. Kegembiraannya jelas terpancar pada riak wajahnya.

Jannah mengukir senyum sambil menyambut setiap tangan kecil yang dihulurkan.

“Hi Auntie.”

“Hai Ibu Sarah.”

“Hi Makcik”

Sapa ketiga-tiga mereka.

“Hello semua.. Seronok tak sekolah?”

“Seronok!!” Serentak mereka berempat menjawab.

“Kenapa seronok?”

“Hmm… sebab dapat jumpa kawan.” Jawab Bella.

“Sebab dapat main!” Jawab Adam.

“Sebab makan sedap!” Jawab Hana.

“Sarah?” Jannah mengangkat kening.

“Sebab Ibu kata, kalau Sarah pergi sekolah, Sarah boleh jadi pandai!”

Jawapan Sarah membuat Jannah menahan sebak. Rupanya Sarah ingat lagi nasihat yang dia beri semasa dia memujuk Sarah untuk ke sekolah.

“Pandai anak Ibu. Hmm..apa kata Sarah pergi kemas semua barang-barang tu sebelum kita balik?” Jannah memandang kepada semua permainan dan buku-buku yang berselerak di atas tikar.

“Ok ibu.. kejap ya. Jom kawan-kawan!”

Jannah cukup bersyukur melihat perkembangan Sarah yang semakin hari semakin keletah. Enam tahun dahulu, anak kecil ini telah ditinggalkan di hadapan rumah Puan Kamariah. Sarah yang pada ketika itu dianggarkan berusia 3 bulan, ditinggalkan di dalam sebuah kotak dengan hanya berbalut sehelai kain selimut. Tiada sebarang nota ditinggalkan dan sehingga ke hari ini tiada siapa yang datang menjenguknya.  

Sejak kali pertama Jannah melihat Sarah, hatinya sudah jatuh sayang. Apalagi apabila dia mengenangkan nasib Sarah yang mengidap sindrom down. Mungkin atas sebab itu anak ini telah ditinggalkan. Dalam proses membesarkan Sarah, banyak yang telah dia dan Puan Kamariah pelajari dan Alhamdulillah dengan pertolongan Yang Maha Esa,  hari ini Sarah sudah seperti kanak-kanak lain walaupun sifat fizikalnya nyata berbeza. Sarah tidak lagi memerlukan sebarang pertolongan untuk menguruskan diri. Percakapannya juga sudah lancar walaupun ada kalanya perlahan.

Dan berpegang pada janjinya, segala urusan berkenaan dengan pemeriksaan kesihatan, sekolah serta segala perbelanjaan Sarah yang lain diurus dan ditanggung sepenuhnya oleh Jannah. Cuma hasratnya untuk membawa Sarah tinggal bersamanya belum lagi terlaksana.

“Ibu! Dah kemas! Jom kita balik!”

Jannah tersenyum senang menatap wajah anak kecil yang berambut lurus dan bermata bundar itu. 

“Ok. Jom kita cari Auntie Ima dan beritahu dia yang kita nak balik.” Tangan yang dihulur dengan pantas dipaut oleh si kecil.

4 comments:

  1. citer ni makin menarik.....Jannah yg penuh warna dalam hidupnya.

    ReplyDelete
  2. Hard Rock Hotel and Casino Reno, NV - MapYRO
    Find the 논산 출장마사지 nearest Hard 광양 출장샵 Rock Hotel and 강원도 출장안마 Casino Reno to Harrah's Reno or other Casino in Reno, 세종특별자치 출장안마 NV. Hard Rock Hotel & Casino 사천 출장마사지 Reno.

    ReplyDelete